Jumaat, 13 Jun 2008

Kisah PAS dan Umno pula.........

Saya menerima SMS dan email dari kawan-kawan yang meminta berikan reaksi berhubung satu artikel dalam NST hari ini yang bertajuk: PAS will not sleep with the enemy again http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Friday/Columns/2265825/Article/index_html Artikel tersebut tidak melaporkan secara langsung tentang sebarang usaha PAS atau Umno untuk berunding bagi tujuan penyatuan politik, tetapi ia sekadar lontaran-lontaran nakal dari seorang penulis veteran yang pasti mengundang latah dari mereka yang memang melatah. “Rumors” dan “purportedly”adalah antara istilah yang digunakan Zubaidah yang dalam bahasa Melayu nya bermakna “khabar angin” dan “dakwaan”. Malah dalam menulis tentang seorang pemimpin kanan PAS yang didakwa berjumpa dengan pemimpin kanan Umno di London, Zubaidah memulakan dengan berkata: “But the latest rumour ” atau “Khabar angin terbaru”. Bagi saya biarlah orang yang melatah itu melatah, tetapi yang stabil dan teguh insyallah tidak begitu. (Lihatlah latahan dan serangan yang tidak sepatutnya terhadap PAS dalam Malaysia Today berhubung artikel ini tanpa mengambil kira pun istilah "rumour" dan "purpotedly" itu tadi) Sebelum inipun MSM (main stream media) telah memainkan berkenaan isu Ezam M Noor dan DSAI. Kononnya kemasukkan Ezam dalam Umno adalah untuk membuka laluan bagi DSAI untuk kembali dalam Umno. Malah “The latest rumour” mengatakan perlantikan salah seorang SETPOL baru PM (bekas orang kuat DSAI) adalah bukti kesahihan “rumour” itu. Kita tidak pula terbaca laporan orang melatah berkenaan pendedahan "rumour" ini. Apa pun dari sejak sebelum pilihan raya sehingga kini saya rasa pimpinan PAS berulang kali menyebut bahawa PAS sentiasa terbuka untuk sebarang jenis perundingan dengan Umno dan malah mana-mana parti-parti politik dan NGO atas isu-isu kepentingan bersama. PAS sudah lebih separuh abad usianya dan sarat dengan pengalaman dan matang dari segi berpolitik, yang penting semua pihak yang bersamanya juga perlu begitu iaitu berpolitik secara dewasa dan matang, tiada ruang untuk melatah dan melompat-lompat tak tentu arah. Pasca PRU ke 12 PAS bersama-sama PKR dan DAP membentuk kerajaan campuran bersama atas nama Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor (dan juga di Pulau Pinang walaupun PAS hanya diwakili 1 kerusi). Inilah realiti politiknya. Kerajaan ini perlu dipadu dan digerakkan bersama atas kepentingan rakyat dan negara. Asasnya, apa yang ada ini perlu sama-sama dibina, digerak dan dipertahankan, perpaduannya akan menjamin kelangsungannya sampai bila-bila.
-roslan SMS-

Ahad, 1 Jun 2008



Surat Terbuka Kepada Osama Ladin
Dunia Arab mutakhir ini sedang sibuk membicarakan surat terbuka dari seorang ulama dari Arab Saudi yang terkemuka, Syeikh Salman Oudah kepada Osama Ben Laden. Surat "Ramadhan" bertarikh 16 September (2 Ramadhan) di laman web islamtoday.net tersebut merupakan surat dari seorang mantan guru kepada anak muridnya. Tujuan surat tersebut dituliskan adalah dari kesedaran wajibnya beliau menasihati Osama yang dilihatnya telah tersasar dari jalan kebenaran sehingga menyebabkan banyak nyawa manusia yang tidak berdosa menjadi mangsa. Surat tersebut juga dibuat demi merayu Osama agar merenung semula "idealisme" perjuangan yang beliau anuti, dan agar beliau kembali ke jalan yang benar.
Salman Fahd al-Oudah bukanlah nama yang asing bagi para pecinta ilmu, pendakwah dan juga panganalisis politik timur tengah. Sebagai seorang ulama yang vokal di zaman mudanya, beliau pernah dipenjarakan oleh Kerajaan Arab Saudi dari taun 1994 shingga tahun 1999 kerana dilabel sebagai "pembangkang". Di negara konservatif dan berorientasikan pemerintahan autoritarian, teguran dan kritikan Salman terhadap dasar kerajaan pasca peperangan teluk yang pertama dianggap sebagai mengancam keselamatan negara. Hasilnya beliau bersama rakannya, Syeikh Safar al-Hawali telah dipenjarakan buat beberapa ketika. Pada waktu itu, Ben Laden telah muncul membuat kenyataan mengutuk pemenjaraan beliau di dalam apa yang dikenali sebagai "deklarasi jihad" pada tahun 1996. Walau bagaimanapun, bagi Oudah, keberadaan beliau di dalam penjara telah banyak merubah pemikiran dan juga pendekatannya.
Sebagai seorang orator dan seorang ilmuan yang muda lagi berkarismatik, beliau mempunyai banyak peminat dan pengkagum. Laman web beliau "www.islamtoday.net" mendapat kunjungan yang tinggi dari dalam Arab Saudi dan juga dari negara-negara luar. Selepas keluar dari penjara, beliau mempunyai pemikiran yang lebih moderat, malah lebih moderat daripada ulama-ulama rasmi kerajaan Arab Saudi. Bukan hanya nada beliau menjadi lebih sederhana, malah beliau lebih terbuka di dalam menerima kepelbagaian pandangan, mazhab dan aliran. Jika di masa mudanya, beliau terkenal dengan kritikannya terhadap Muhammad al-Ghazali (mati 1996), selepas keluar dari penjara beliau menjadi di antara pengkagum al-Ghazali. Tidak keterlaluan jika ada di antara pengkritik beliau yang menggelarkannya sebagai "al-Qaradawi junior".
Di kalangan ulama-ulama Saudi yang terkenal dengan pandangan yang keras dan kurang toleransi terhadap aliran yang tidak selari dengan fahaman mereka, Oudah muncul membawa pendekatan sederhana. Fatwa-fatwa beliau seakan-akan tidak selari dengan jubah dan ketrampilan para ulama Saudi yang konvensional. Kini, stesen-stesen televisyen satelit Arab berlumba-lumba mendapatkannya untuk ditemuramah dan diwawancara. Meskipun perubahan tersebut menyebabkan sesetengah pengikutnya di zaman muda mula meninggalkannya, namun golongan baru pula muncul mengikuti setiap ceramah, fatwa, artikel dan juga fikrah yang dilontarkan.
Osama merupakan salah seorang mantan pengikut dan pengkagumnya di zaman muda beliau. Malah tiak keterlaluan jika dikatakan, kebanyakan pengikut Osama dari kalangan para pemuda Arab Saudi di zaman peperangan Afghan-Russia adalah kebanyakannya anak-anak murid Oudah. Tidak hairanlah selepas kejatuhan kerajaan Taliban di Afghanistan pada tahun 2001, kaset-kaset Oudah banyak ditemui di rumah yang pernah didiami oleh Osama. Oudah sendiri terkenal dengan pandangan beliau yang tegas dan berprinsip di dalam persoalan penjajahan tanah umat Islam dan perjuangan mereka. Pada November 2004, beliau bersama 26 ulama Muslimin yang lain telah bertanggungjawab mengeluarkan fatwa bersama mengharuskan perjuangan menentang penjajahan Amerika Syarikat di bumi Iraq.
Hatta sehingga kini pun beliau tetap tegas dengan pendirian tersebut yang kadangkala tidak disenangi oleh kerajaan Arab Saudi. Walau bagaimanapun beliau tidak menyokong tindakan membuta tuli dan keganasan yang dilakukan oleh gerakan al-Qaedah pimpinan Osama. Sebagai contoh, beliau mengecam pengeboman di Riyadh pada tahun 2003 yang telah dilakukan oleh al-Qaedah. Beliau juga mengutuk tindakan-tidakan membuta tuli yang lain yang telah dilakuakn oleh al-Qaedah. Tindakan membuta tuli mereka telah menyebabkan kematian ramai nyawa yang tidak berdosa, hatta di kalangan kaum Muslimin. Lebih malang lagi tindakan-tindakan tersebut telah mencalarkan, malah memburukkan imej Islam sebagai agama yang cintakan kedamaian. Pendirian beliau akhirnya telah menerima kritikan oleh para penulis dan aktivis al-Qaeda di dalam dan di luar Arab Saudi semenjak tahun 2005 lagi.
Pengeboman di London, pengeboman di Madrid, pengeboman di Amman, pengeboman di Turki, pembunuhan warga Iraq, hatta dari kalangan kaum Sunni (yang tidak sealiran dengan al-Qaeda), kes pertempuran Fatah Islami di Nahr al-Barid Lubnan, dan pelbagai lagi kekacauan yang telah ditimbulkan oleh al-Qaedah. Kesemuanya ini bertentangan dengan ajaran Islam dan juga bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAWmenurut Oudah. Oudah memetik di dalam suratnya, hadis Rasulullah SAW yang melarang kaum muslim daripada membunuh hatta haiwan sekecil anak burung sekalipun. Beliau juga mengingatkan Osama tentang dosa membunuh orang yang tidak berdosa yang bakal dibawa oleh Osama untuk bertemu dengan Allah di padang mahsyar nanti.
Surat Oudah sebenarnya merupakan siri-siri nasihat para ulama sedunia terhadap golongan al-Qaedah yang lebih dikenali sebagai golongan "Takfiri" di dunia Arab. Dr Yusuf al-Qaradawi, sebagai contoh di antara ulama yang sering merayu dan menasihati golongan al-Qaeda ataupun takfiri agar menjauhi nyawa rakyat awam yang tidak berdosa. Majoriti ulama menyokong perjuangan mereka menentang penjajah di Afghanistan dan Iraq, tetapi mereka tidak bersetuju dengan tindakan mereka membunuh orang awam yang tidak berdosa.
Jika diamati Osama bukanlah perancang ataupun "master mind" sebenar di dalam siri-siri keganasan tersebut. Osama merupakan seorang yang sederhana dan tidak ekstrim di zaman Syeikh Abdullah Azzam sewaktu peperangan Afghan-Russia. Walau bagaimanapun pasca pembunuhan Abdullah Azzam beliau telah banyak dipengaruhi oleh Abu Ayman al-Zawahiri. Al-Zawahiri yang terkenal dengan ide ekstrim, takfir dan pro-keganasan merupakan rakyat Mesir dalam buangan yang pernah terlibat di dalam pembunuhan presiden Mesir, Anwar Sadat pada 6 Oktober 1981. Al-Zawahiri yang telah dibebaskan ari penjara Mesir pada tahun 1984 dan kemudiannya ke Afghanistan unutk menyertai peperangan di sana terkenal dengan ide-ide ekstrim beliau semenjak berada di Mesir lagi. Bukan sekadar beliau mengkafirkan pemerintah Mesir, malah beliau juga telah mengkafirkan gerakan al-Ikhwan al-Muslimin (IM) kerana enggan mengkafirkan kerajaan Mesir. Bukunya yang bertajuk "al-Hassad al-Murr" mengandungi kecaman, kritik dan juga hentaman terhadap gerakan IM.
Beliaulah yang menjadi orang utama al-Qaedah, namun berjaya bersembunyi di sebalik bayang Osama. Mantan doktor perubatan itu merupakan seorang yang licik dan berstrategi di dalam melakukan kerja-kerjanya. Ramai di antara pengamat politik timur tengah menyedari hal ini, Osama bukan sekadar dipengaruhi, malah dimanipulasi oleh al-Zawahiri untuk apa yang beliau imani sebagai "jihad". Hal ini jugalah mungkin disedari oleh Oudah yang juga pernah menjadi guru Osama. Di atas kesedaran ini jugalah mungkin Oudah menulis surat terbukanya di bulan Ramadhan yang mulia demi menyedarkan Osama agar kembali ke jalan yang benar.